.

Salam,

Blog ini dihasilkan cetusan idea saya untuk menghidupkan kembali khazanah keluarga, dan saya sendiri merupakan generasi ke 13 Keraing Aji (Tok Tuan) iaitu salah seorang pembesar Bugis yang berhijrah ke Pahang dan telah menghidup dan memajukan semula kegiatan menenun di kalangan masyarakat tempatan.

Mewarisi bakat kesenian yang mengalir dalam tubuh saya dari ibu Noraziah Abd Kadir dan ibu saudara saya Sapora Hanum Abd Kadir, dan juga NortipahAbd Kadir yang telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja bagi menghargai sumbangan beliau dalam mempertahankan seni warisan bangsa pada tahun 2006, menjadikan saya sorang pencinta seni tenunan. Saya kini bertugas sebagai tenaga pengajar di PusatLatihan Jangka Pendek Asas Tenunan dipertanggungjawabkan untuk melahirkan bakat2 baru dalam bidang tenunan ini.

Besar harapan saya agar khazanah ini tidak dilupakan, tidak hilang ditelan zaman. Sama2 lah kita menghidupakan kembali warisan yang hampir pupus dan dilupakan ini.

Sejarah Tenunan


 Tenunan adalah suatu proses hasil jalinan atau sulaman benang-benang secara selang-seli antara benang loseng ( yang menunggu ) dengan benang pakan ( yang mendatang ) untuk dijadikan sehelai kain. Seni tenunan adalah suatu warisan yang terus mendapat tempat istimewa dalam kebudayaan Nusantara. Faktor yang mendorong perkembangan seni tenunan ini dapat disorot pada kepentingan kedudukan rantau ini dari segi geografi. Sebagai tempat persinggahan kapal yang strategik, Nusantara menjadi tumpuan utama pedagang dari Tanah Arab, India dan China. Antara barangan yang didagang ketika itu ialah kain termasuk kain tenun. Oleh sebab itu, seni tenunan di Nusantara banyak dipengaruhi dari negara-negara tersebut. Di antara tenunan yang paling terkenal ialah Songket Melayu dan Tenunan Pua peribumi Borneo. Perusahaan tenunan ini banyak dilakukan di negeri Pantai Timur khususnya di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Teknik hasil kraftangan tenunan utama yang menampakkan keseragaman tekstil Melayu. Kain tenunan beerti kain atau tekstil yang dihasilkan dengan teknik tenunan yang dibuat daripada benang.

Tenunan Pahang
Kain tenunan Pahang dipercayai berasal daripada Sulawesi dan dibawa ke Pahang pada abad ke-16. Tokoh yang bertanggungjawab ialah Tuk Tuan atau Keraing Aji yang berketurunan Bugis dan bermastautin di Kampung Mengkasar, Pekan, Pahang. Dari Pahang, corak ini berkembang ke Kelantan dan Terengganu. Tenunan Pahang menggunakan alat yang dikenali sebagai kei siam. Kedua-dua benang sutera dan benang kapas boleh digunakan. Motif utama ialah petak-petak dan jalur tegak atau melintang. 
Tenunan benang kapas
Tenunan ini adalah tenunan biasa termasuk dalam kelompok tekstil sederhana iaitu jenis awal yang ditemui di wilayah budaya tekstil Melayu pesisir. Tekstil ini khususnya yang diperbuat daripada kapas dipakai oleh kalangan rakyat biasa. Tenunan biasa berhias corak hasil jalinan tenun benang pakan dan loseng berwarna. Pada peringkat ini, tenunan biasa masih di peringkat sederhana iaitu belum lagi diberi motif hiasan. Tenunan bercorak mula memperlihatkan keindahan khususnya apabila benang sutera atau benang emas diselit untuk mengimbangi motif jalur atau garis kecil seperti pada kain hujan emas. Hampir seluruh wilayah budaya tekstil melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Riau-Siak, Sulawesi, Minangkabau, Palembang menghasilkan tenunan biasa atau tenunan becorak yang seperti ini. 

1 comment:

ckcaughn said...

Hi,

Saya ingin tahu adakah terdapat kain tenun yang dijadikan kain pelikat supaya boleh dipakai sehari-hari? Berapakah kosnya?